Sebuah pesawat ringan membuat pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor pada pukul 8.28 pagi hari Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, pesawat ringan jenis Diamond DA-42 tersebut pada mulanya berlepas pada pukul 8.26 pagi di lapangan terbang yang sama.
“Sejurus pesawat berlepas, pihak Menara Kawalan Trafik Udara Subang telah menerima panggilan kecemasan daripada pesawat berkenaan dan melakukan pendaratan kecemasan dua minit selepas berlepas.
“Difahamkan juga dua juruterbang di dalam pesawat tersebut berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan.

Landasan lapangan terbang berkenaan turut ditutup sementara dari operasi penerbangan sehingga pesawat tersebut dialihkan dari landasan.
Tambahnya, siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara dibawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Baca juga: