Anwar selamat tiba di Riyadh, adakan pertemuan penting bersama pimpinan dunia pada Mesyuarat Khas WEF

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Riyadh, Arab Saudi bersama delegasi Malaysia untuk menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) selama dua hari sehingga Isnin.

Menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya, kehadiran beliau disambut Naib Menteri Hal Ehwal Luar Arab Saudi, Waleed A Elkhereiji, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan diiringi Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

“Insya-Allah bermula hari ini, saya bersama menteri-menteri kanan serta delegasi Malaysia yang lain akan menghadiri persidangan serta mengadakan beberapa pertemuan penting bersama pimpinan dunia dan ketua-ketua korporat global.

“Dalam pada itu, pertemuan dan persidangan ini antara lain akan menyentuh perkara-perkara terkait kepentingan negara.

“Ia bermula dengan sesi Plenari Pembukaan bertemakan Visi Baharu Pembangunan Global pagi ini di mana saya akan menyampaikan ucapan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memohon titipan doa agar diberikan kejayaan buat delegasi Malaysia dalam misi meneroka pelbagai peluang ekonomi dan menarik pelaburan baharu di samping, berkongsi dasar dan hala tuju negara.

Mesyuarat tersebut diharap dapat memperlihatkan ketegasan pendirian negara dalam isu geopolitik serantau di hadapan pemimpin-pemimpin dunia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat