UMNO sokong cadangan kekalkan Kerajaan Perpaduan pada PRU16

UMNO menyokong  inisiatif untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan sedia ada demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti mempunyai misi dan komitmen jelas iaitu komited menyokong apa jua saranan demi kepentingan negara yang stabil politik serta ekonominya yang berkembang pesat.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Kerajaan Perpaduan sedia ada, mesti mempertahankan kestabilan politik di Malaysia.

“Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) adalah medan untuk terjemahkan bagaimana kestabilan politik, penyatuan hati dan fikiran dalam kalangan 18 parti ini dapat dipertahankan,” katanya di Majlis Rumah Terbuka Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rancangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk melakukan persediaan rapi pada PRU16 kelak sekali gus memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri pada penggal akan datang.

Tambah Ahmad Zahid, dalam membangunkan negara, aspek ekonomi perlu dijana dengan baik, sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat. 

“Gaji penjawat awam sedang dalam kerangka untuk diumumkan dan sebagaimana yang kita ketahui, selepas 12 tahun kita akan melihat skema gaji ini akan memberikan peluang kepada penjawat awam untuk terus mempertingkat produktiviti.

“Saya harap dengan ekonomi yang baik, sektor swasta juga akan melakukan perkara sama,” ujarnya.

Terdahulu, PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Difahamkan, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu dan 11 Mei sebagai hari pengundian.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat