2 cedera dalam kemalangan libat Proton Saga dan Myvi

Seorang wanita tersepit apabila kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Kampung Skiat Baru, Bau, Sarawak pada Isnin.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memberitahu, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar pukul 6.50 pagi.

Menurutnya, pasukan keluaran operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima laporan terbabit.

“Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan dan salah seorang mangsa berusia 26 tahun masih tersepit di tempat duduk pemandu akibat kemalangan itu.

“Manakala seorang lagi mangsa lelaki, 43, iaitu pemandu sebuah lagi kenderaan telah keluar dari kenderaannya sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Komander Operasi, kemalangan tersebut berlaku antara kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Saga.

Bomba membuat ‘size up’ dan mengarahkan PKO melakukan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan khas ‘rescue tool’ bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Kerja-kerja menyelamat telah dilakukan oleh pasukan bomba dengan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa berkenaan.

Mangsa yang berjaya dikeluarkan telah diserahkan kepada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tindakan selanjutnya dan PKO seterusnya membuat pembersihan jalan akibat sisa kemalangan dan operasi ditamatkan pukul 7.55 pagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat