Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua tuduhan memfitnah dan menghasut untuk merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, Badrul Hisham, 45, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.
Mengikut pertuduhan, Badrul Hisham didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah di mana beliau mempunyai sebab untuk percaya bahawa ia akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.
Kesalahan didakwa dilakukan di Istana Negara, jam 6 petang pada 22 Januari lalu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa kepada hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Beliau turut berdepan tuduhan membuat penerbitan menghasut di Taman Bukit Cheras, pukul 12.15 tengah hari, 6 April lalu.
Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuka kertas siasatan dan membuat tangkapan terhadap Chegu Bard pada 27 April 2024.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, Chegu Bard ditahan berhubung hantaran yang dibuat mengaitkan Perdana Menteri dengan isu pembinaan kasino di Forest City serta melibatkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai benteng kritikan.
“Reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dimohon dan dibenarkan oleh Majistret Mahkamah Kuala Lumpur selama dua hari bermula 28 hingga 29 April 2024.
“Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas dan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.
“Selain itu, siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Baca juga: