Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara akan berlangsung dalam lima hari lagi bertempat di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang pada 3 hingga 5 Mei 2024.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan lagi suasana program tersebut di samping terdapat pelbagai aktiviti serta pengisian menarik yang disediakan untuk semua golongan umur.
Antara aktiviti yang disediakan oleh pihak penganjur termasuk pameran aset bergerak, persembahan Perpaduan MADANI, karnival kerjaya, ‘virtual reality (VR) interactive games’, cabutan bertuah dan banyak lagi.
Untuk maklumat lanjut berkenaan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara di Pulau Pinang boleh layari www.malaysiamadani.gov.my.
Sementara itu, Program MADANI Rakyat 2024 merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang telah diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Disember 2023 lalu.
Dalam masa sama, Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Mei 2024 dan turut dihadiri oleh pimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Penganjuran siri pertama Program Madani Rakyat 2024 Zon Tengah yang melibatkan Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Putrajaya diadakan di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 23 hingga 25 Feb lepas, dengan kerjasama strategik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta kerajaan Selangor.
Program Madani Rakyat 2024 merupakan wadah untuk masyarakat mendapatkan perkhidmatan secara terus daripada kementerian dan agensi di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri, di samping memberi peluang kepada masyarakat umum mengemukakan pandangan dan cadangan penambahbaikan mutu perkhidmatan kerajaan.
Program itu juga dapat mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuh hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras dengan agenda Malaysia Madani.
Baca juga: