Chan Ming Youn, satu-satunya Leftenan Muda berbangsa Cina tamatkan kursus komando

Leftenan Muda Chan Ming Youn dari Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) mencatat sejarah sebagai satu-satunya peserta berketurunan Cina yang berjaya menamatkan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024 selepas menjalani latihan intensif selama 12 minggu.

Berita tersebut dikongsi melalui laman Facebook Berita Tentera Darat Malaysia, yang menampilkan sembilan pegawai dan 60 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang menerima pengiktirafan beret hijau dan pisau komando dalam upacara penutup di Pantai Betutu Laut, Sungai Udang, Melaka pada Ahad.

Chan, 25, mengungkapkan motivasinya yang mendalam terhadap dunia ketenteraan dan tekadnya untuk berkhidmat kepada negara setelah bergabung sebagai anggota 515 Askar Wataniah.

“Pada mulanya, saya berkhidmat dalam 515 Askar Wataniah dan dari situ, saya tertarik untuk terus berkhidmat dalam dunia ketenteraan ini dengan mengikuti kursus-kursus kepakaran, di samping berharap untuk menjadi seorang komando yang berkualiti,” ujarnya.

Upacara penutup kursus tersebut dirasmikan oleh Panglima Grup Gerak Khas (21 GGK), Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah.

Dalam pada itu, Adi Ridzwan menegaskan kepada para peserta untuk sentiasa memelihara maruah beret hijau sebagai simbol profesionalisme dan kecekapan dalam menjalankan tugas sebagai ‘Special Forces Operators‘.

“Maruah beret hijau ini perlu dijaga kerana ia melambangkan kebanggaan dan prestij Gerak Khas. Jangan biarkan ia tercemar oleh perbuatan yang tidak sopan kerana ia boleh merosakkan segala pengorbanan yang telah dilakukan untuk mendapatkannya.

“Ia amat menyedihkan jika seorang komando terpaksa dilucutkan pangkatnya disebabkan perbuatan yang tidak bermaruah seperti tidak mematuhi arahan atau melanggar peraturan perkhidmatan,” katanya.

Upacara penutup tersebut turut dihadiri Ketua Staf Am 21 GGK, Brigadier Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab; Ketua Staf Perkhidmatan 21 GGK, Brigadier Jeneral Syamsyawal Muhamad; Pengarah Gerak Khas, Kolonel Zolkinine Yunus dan Pemangku Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Leftenan Kolonel Valzahmer Errino Mohd Tahir.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat