Haram makan makanan kenduri tapi tidak dijemput, dianggap seperti pencuri

Majlis perkahwinan merupakan salah satu adat yang akan dilakukan oleh pasangan pengantin yang baru bernikah untuk meraikan hari bahagia tersebut.

Ia juga diadakan untuk memperkenalkan pasangan masing-masing kepada ahli keluarga, sahabat, jiran atau kenalan rapat.

Kebiasaannya, majlis perkahwinan bukanlah diadakan secara terbuka kepada orang ramai, sebaliknya hanya tetamu yang dijemput sahaja dibenarkan hadir memandangkan pihak pengantin pasti mempunyai kuota yang ditetapkan.

Bagaimanapun, tular di media sosial satu video yang memaparkan dua orang lelaki didakwa melakukan crash wedding (terjah kenduri) apabila hadir ke sebuah majlis perkahwinan tanpa mendapat jemputan.

Menerusi video tersebut, kedua-dua lelaki itu dilihat menaiki motosikal sebelum menemui majlis terbabit yang dipercayai diadakan di dewan sebuah sekolah.

Mereka kemudiannya masuk ke dalam dewan berkenaan dan menjamu selera makanan yang dihidangkan buat para tetamu majlis perkawinan itu.

“Misi cari makan free (percuma), kita dah jumpa satu tempat makan free, entah siapa punya majlis engkau datang,” kata lelaki itu.

Ciapan berserta video yang dimuat naik itu kemudiannya mendapat perhatian ramai sekali gus meraih pelbagai reaksi.

Melihat ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial mengecam perbuatan lelaki-lelaki berkenaan yang menerjah majlis kenduri kahwin tersebut.

Kebanyakan netizen juga menjelaskan sekiranya perkara tersebut benar, maka hukum memakan makanan itu adalah haram.

“Kenduri ni bukan open house, siapa-siapa sahaja boleh pergi, tapi kenduri ada jemputan dan bajet berapa orang untuk makan, kalau pergi terjah nanti oragn yang dijemput datang dah habis makanan,” kata Silicannot.

Bahkan menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menyatakan bahawa haram bagi seseorang hadir majlis kenduri tanpa dijemput, atau tanpa diketahui samada tuan rumah redha ataupun tidak.

“Sesiapa yang dijemput tapi tidak memenuhi jemputan, dia telah engkar kepada Allah dan Rasul-Nya; dan siapa yang pergi ke suatu majlis tanpa jemputan, dia hadir sebagai seorang pencuri dan keluar sebagai seorang,” diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat