Jemaah Menteri telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Agenda Reformasi Institusi dan Undang-Undang pada 3 April 2024.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri, penubuhan Jawatankuasa tersebut adalah seiring dengan hasrat Kerajaan MADANI bagi memastikan usaha reformasi institusi dan undang-undang dapat dilaksanakan dengan lebih segera.
“Mesyuarat pertama Jawatankuasa ini telah diadakan pada Isnin dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, mengetengahkan Jawatankuasa tersebut akan menjadi platform untuk menilai dan mempertimbangkan pelbagai cabaran reformasi institusi dan undang-undang.
“Perkara berkenaan adalah selepas meneliti isu-isu rentas Kementerian dan Agensi secara terperinci sebelum cadangannya diangkat bagi pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya.
Selain itu, mesyuarat itu telah membincangkan dua cadangan reformasi institusi dan undang-undang iaitu Penubuhan Ombudsman Malaysia dan pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi menambah baik mekanisme perlindungan yang sedia ada selain memantapkan lagi aspek pelaksanaannya.
Dalam pada itu, hasil sesi libat urus akan dikaji dan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa tersebut sebelum butiran terperinci mengenai kedua-dua cadangan diteliti semula termasuklah daripada segi ruang lingkup, struktur dan fungsi Ombudsman Malaysia.
Justera itu, kedua-dua reformasi undang-undang itu dihasratkan untuk dibentangkan dalam Sidang Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen Kelima Belas pada bulan Oktober nanti.
Baca juga: