Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menjalankan rangkaian inisiatif penting untuk memperkukuhkan agenda reformasi pendidikan negara, seiring dengan tuntutan semasa dan hasrat untuk menyahut cabaran global.
KPM dalam kentaaan memaklumkan bahawa kementerian telah mengambil langkah progresif untuk menjalankan reformasi yang menyeluruh sebagai inisiatif untuk memahami kepentingan dan keperluan yang perlu diketengahkan.
“Salah satu inisiatif penting yang sedang dilaksanakan adalah pengstrukturan semula sistem prasekolah yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan aksesibiliti pendidikan prasekolah di seluruh negara.
“Ia akan mencipta landasan yang kukuh bagi perkembangan anak-anak sejak peringkat awal,” kata kenyataan KPM pada Selasa.
Langkah progresif ini dilaksanakan selepas KPM memberi perhatian kepada Laporan Bank Dunia bertajuk ‘Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills‘ yang menekankan beberapa aspek penting dalam sistem pendidikan negara.
Menurut laporan tersebut, aspek-aspek seperti kualiti dan akses pendidikan prasekolah, kecekapan murid dan pembangunan profesionalisme guru menjadi fokus utama.
Kurikulum Persekolahan 2027 turut menjadi tumpuan KPM dalam usahanya untuk mereformasi pendidikan negara.
“Dengan menyesuaikan kurikulum mengikut keperluan semasa dan masa depan, diharapkan generasi akan dilengkapi dengan kemahiran yang relevan dan bersedia menghadapi cabaran global,” tambah kenyataan tersebut.
Selain itu, langkah-langkah intervensi kurikulum turut diberi perhatian serius bagi menangani isu keciciran pembelajaran.
Ia termasuk pengenalan program-program yang sesuai untuk menyokong murid-murid yang memerlukan bantuan tambahan dalam proses pembelajaran.
Peningkatan profesionalisme guru juga merupakan fokus utama dalam usaha reformasi ini dengan memperkenalkan pelbagai program untuk memperkukuhkan kompetensi dan profesionalisme guru dalam melaksanakan tugas mereka.
Pengenalan platform Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP) adalah contoh nyata bagaimana KPM berusaha memenuhi keperluan kompetensi digital guru, sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.
KPM menegaskan komitmen penuhnya dalam memastikan keberhasilan agenda reformasi pendidikan negara dengan harapan sistem pendidikan negara akan terus berkembang dan mampu menyediakan generasi yang berkualiti serta bersedia menghadapi cabaran global yang semakin mencabar.
Baca juga: