Seorang bayi perempuan warga asing berusia sembilan bulan maut disyaki menjadi mangsa dera berlaku di sekitar Johor Bahru pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru disahkan meninggal dunia pada 26 April lalu.
“Bertindak atas maklumat, pihak polis telah menangkap dua rakan ibu mangsa yang juga warga asing dan seorang lelaki tempatan yang merupakan teman lelaki kepada salah seorang daripada wanita itu.
“Selain itu, turut ditahan adalah pengasuh mangsa iaitu sepasang suami isteri warga tempatan dan kesemua suspek berusia lingkungan 29 hingga 42 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Balvir Singh berkata, pihak polis masih mengesan ibu kepada mangsa yang merupakan seorang warganegara Vietnam.
Dalam pada itu, kesemua suspek yang ditangkap telah dibenarkan tahanan reman selama enam hari mulai 26 April oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun atau dengan denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati wujudnya elemen jenayah dalam kematian mangsa,” katanya.
Baca juga: