Pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Dr Zaidi Embong yang menghidap penyakit jarang jumpa, distrofi otot atau ‘muscular dystrophy’ (MD) menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara bagi kategori Orang Kurang Upaya (OKU) sempena Sambutan Hari Pekerja 2024 pada Rabu.
Zaidi, 52, yang berkerusi roda mendedikasikan hidup mendidik anak bangsa meskipun pergerakannya terbatas ekoran penyakit dihidapi sejak 20 tahun lalu.
Pensyarah di Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi itu berkata, anugerah terbesar yang diterimanya daripada kerajaan selepas hampir 25 tahun berbakti sebagai pensyarah di UHTM.
“OKU ada kelebihan sendiri dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Contohnya kalau OKU itu boleh menyanyi tetapi tidak diberikan peluang, masyarakat keliling perlu peka dan bantu individu tersebut dari pelbagai aspek.
“OKU juga kena berani dan tingkatkan keyakinan diri, kalau tak pecahkan sifat malu itu, kita berdepan situasi malu bertanya, sesat jalan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis sambutan itu di Putrajaya.
Beliau berkata, pengiktirafan ini bukan untuk dirinya sahaja sebaliknya semua golongan OKU di negara ini yang turut mempunyai potensi sama.
Zaidi adalah antara 11 penerima anugerah sempena Sambutan Hari Pekerja 2024 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kejayaan itu membolehkan Zaidi membawa pulang wang tunai RM10,000 termasuk sijil penghargaan.