Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan perkembangan positif dalam usaha memudahkan pembinaan fasiliti Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) di Lapangan Terbang Subang, Selangor pada Jumaat.
“Syarikat ExecuJet sebelum ini mengalami cabaran mendapatkan lesen penuh untuk projek tersebut, namun dengan kerjasama dan sokongan dari Kementerian Pengangkutan serta rujukan daripada Exco Pelaburan Selangor, Datuk Teng Chang Khim, proses ini telah dijalankan dengan lebih lancar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Anthony turut menyatakan bahawa kerajaan melalui kementeriannya telah berusaha untuk memastikan bahawa pelabur mendapat sokongan yang diperlukan dalam menjalankan projek mereka.
“Peranan penting Kementerian Pengangkutan dalam membantu mewujudkan projek ini adalah satu bukti nyata komitmen kerajaan dalam memperkasa industri penerbangan tempatan.
“Dengan penglibatan Malaysia Aviation Commission, proses mendapatkan lesen dan kelulusan yang diperlukan telah dipermudahkan. Ini menandakan langkah positif dalam mempercepatkan pembangunan di Lapangan Terbang Subang serta menjayakan Rancangan Pemulihan Lapangan Terbang Subang (SARP) yang diterajui oleh Malaysia Airport,” tambahnya.
SARP dijangka akan membawa pelbagai manfaat ekonomi, termasuk menjana hingga 8,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Perkata tersebut sejajar dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan industri aeroangkasa negara dengan nilai kasar keluaran yang dijangka mencapai RM216.6 billion, serta nilai tambahan sebanyak RM93.7 bilion dalam jangka masa 25 tahun.
Kenyataan Anthony menandakan komitmen kerajaan dalam memperkasakan industri penerbangan Malaysia melalui penyediaan infrastruktur yang berkualiti dan sokongan kepada pelabur tempatan dan antarabangsa.
Baca juga: