Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan mengambil tindakan tegas ke atas individu atau pertubuhan yang terbabit dengan amalan rasuah atau salah guna kuasa dalam industri perkhidmatan air.
SPAN menerusi satu kenyataan berkata, sebagai badan yang mengawal selia industri perkhidmatan air, suruhanjaya itu tidak akan bertolak-ansur terhadap sebarang ketidakpatuhan kepada Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
“SPAN memandang serius sebarang isu membabitkan tata kelola, rasuah atau salah laku yang boleh menjejaskan tahap perkhidmatan dan imej industri perkhidmatan air negara.
“SPAN juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha untuk memastikan industri perkhidmatan air negara bebas daripada sebarang unsur rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Kenyataan itu dibuat susulan kes penahanan duapegawai pengurusan tertinggi sebuah syarikat pembekalan air di Johor oleh SPRM baru-baru ini, yang dipercayai menerima rasuah berjumlah RM3.3 juta daripada du pemilik syarikat kontraktor pada Selasa lalu.
Susulan penahanan itu, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pembekalan air dan seorang pemilik syarikat turut ditahan, dipercayai menerima rasuah dan tuntutan palsu berkaitan kes berkenaan.
“Lembaga Pengarah dan pengurusan atasan syarikat perkhidmatan bekalan air bertanggungjawab untuk memastikan organisasi mereka mengamalkan tahap integriti dan etika tertinggi serta kawalan dalaman terbaik seperti yang ditetapkan dalam syarat khas lesen yang menghendaki pematuhan kepada Rangka Kerja Integriti dan Anti-Rasuah,” katanya.
Difahamkan, SPAN sentiasa komited dalam melaksanakan urusan kawal selianya dengan adil dan telus.
Baca juga: