Zainal Abidin, Aishah Retno dan Kaka Azraff bakal meriahkan Karnival 25 Tahun PKR di Sentul Depot 11 Mei ini

KEADILAN akan meraikan sambutan ulang tahun ke-25 penubuhannya dengan menganjurkan satu karnival terbuka di Sentul Depot, Kuala Lumpur.

Karnival yang diadakan pada 11 Mei ini turut disertai beberapa artis terkenal tanah air antaranya Datuk Zainal Abidin, Aishah Retno dan Kaka Azraff.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, karnival yang julung kali diadakan itu menyasarkan seramai 10,000 pengunjung dan antara lain akan menyajikan pameran, wacana forum dan pelbagai pengisian menarik yang berkaitan dengan sejarah penubuhan parti.

“Sejarah penubuhan parti ini bermula dengan pelbagai rencam dan ujian sehingga mematangkan perjuangan PKR yang kemuncaknya kepada penglibatan PKR di dalam sebahagian tampuk pemerintahan negara, dan ia akan dipersembahkan dalam bentuk pameran, wacana forum dan lain-lain pengisian sepanjang karnival itu nanti,” katanya.

Menurut Nurul Izzah lagi, para pengunjung ulang tahun Jubli Perak PKR itu kelak turut disajikan dengan gerai jualan daripada pelbagai vendor tempatan seperti Tia Fatihah Hijab, Berrykinn, Gorpis, Fifbites Churros dan lain lain.

Bercakap dalam persidangan media sempena penganjuran Karnival 25 Tahun PKR itu di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya Selangor, beliau berkata, selain itu satu majlis kesyukuran turut dirancang sebagai acara sambutan, di samping majlis makan malam bagi meraikan pengorbanan dan sumbangan anggota di Masjid Abu Hurairah, Jalan Ipoh Kuala Lumpur.

Beliau berkata, sempena sambutan itu PKR juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan untuk membuka kaunter-kaunter bergerak termasuk kaunter pembayaran saman, kaunter permohonan kad pengenalan dan kaunter berkaitan hal ehwal pensijilan halal.

Tambah Nurul Izzah, karnival itu juga akan menyajikan aktiviti menarik lain seperti permainan tradisional rakyat dan persembahan jalanan.

Anda Mungkin Berminat