Letupan bom Sungai Golok: Polis Kelantan mula guna kereta berperisai

Kenderaan berperisai AFV Commando V150 sudah mula digunakan Polis Kelantan pada Jumaat bagi memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan negara berhubung insiden letupan bom dan tembakan di Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, Thailand Rabu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kawalan dan rondaan menggunakan kenderaan itu dilaksanakan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) membabitkan seorang pegawai dan 13 anggota.

Menurut Muhamad Zaki, rondaan turut diteruskan di kawasan Tumpat sepanjang Pos Ular, Pos Simpangan, Pos Nibong, Pos Pisau Raut, Pos Naga Ibu dan Pos Kuala Jambu.

“Kita memang akan meningkatkan keselamatan di sempadan jika berlaku kes seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Warna Warni Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, Kelantan pada Jumaat.

Beliau turut memberitahu, belum menerima secara rasmi laporan berkaitan sebuah kereta yang didakwa menggunakan nombor plat Malaysia dalam insiden berkenaan.

“Saya belum menerima secara rasmi dakwaan itu tetapi kita bertindak segera melakukan rondaan sebaik sahaja kes berlaku,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Pol Col Jadsadavit Inprapan berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian menemukan sebuah kenderaan model sedan berwarna putih yang mempunyai nombor pendaftaran negara jiran.

Susulan insiden berkenaan, pihak keselamatan Thailand memperketatkan kawalan di sempadan bagi mengelak pergerakan penjenayah secara bebas di sekitarnya.

Difahamkan, kejadian yang berlaku pada pukul 12.05 tengah malam 29 April lalu menyebabkan empat anggota polis Thailand cedera dalam insiden berkenaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat