Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia (SHABS) 2024 bertempat di Tambun, Ulu Kinta, Perak pada Sabtu.
Negeri Perak telah dipilih sebagai tuan rumah untuk melaksanakan SHABS pada tahun 2024 yang menyajikan pelbagai pertunjukan kebombaan yang menarik untuk dipertontonkan.
Anwar yang juga merupakan Ahli Parlimen Tambun telah dipertontonkan dengan aksi pertunjukan kebombaan yang menampilkan kemahiran, keberanian, dan ketangkasan anggota Bomba dalam menjalankan tugas-tugas kebombaan semasa operasi penyelamatan dilaksanakan.
“Antara pertunjukan yang menjadi perhatian sambutan tersebut termasuk perbarisan dan perarakan berjalan lalu kontinjen-kontinjen dan jentera-jentera JBPM serta agensi-agensi jemputan dan turut sama mengikuti perarakan tersebut adalah barisan pelakon-pelakon filem Legasi Bomba the Movie.
“Selain pertunjukan, seorang pegawai Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) telah turun dari pesawat Bomba AW 139 dan berlari ke hadapan pentas untuk menghantar sebilah kapak kepada Perdana Menteri sebagai simbolik bagi merasmikan SHABS 2024,” menurut kenyataan dikeluarkan JBPM pada Ahad.
Sebelum meninggalkan majlis, Anwar mengambil kesempatan beramah mesra bersama tetamu-tetamu jemputan serta pengunjung dan warga tempatan yang hadir di tapak majlis.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming; Timbalan KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.
Baca juga: