Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah bincang pembangunan buat manfaat rakyat – Fadhlina

Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah telah membincangkan cadangan pembangunan untuk menyelaras keutamaan antara persekutuan dan negeri untuk dimanfaatkan oleh rakyat, khususnya penduduk negeri Kedah.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang turut menghadiri mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada petang Sabtu di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

“Projek-projek pembangunan dan perancangan seperti menaik taraf dan membina infrastruktur kemudahan rakyat telah dirangka, merangkumi perihal keterjaminan makanan, infrastruktur asas, pembangunan kawasan, pelancongan dan juga pendidikan.

“Perdana Menteri juga menggariskan strategi penghasilan pelajar-pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk memenuhi permintaan industri berteknologi tinggi yang menuntut tindakan kerjasama antara kementerian untuk memastikan pemenuhan keperluan industri,” katanya dalam kenyataan.

Fadhlina turut berkata projek-projek berkaitan institusi pendidikan di Kedah mengikut perancangan khasnya juga diberi perhatian dan kawalan selia penyelenggaraan serta pembangunan sekolah menjadi fokus dalam memastikan kualiti pendidikan terjamin.

Tambahnya, Perdana Menteri menunjukkan keprihatinan yang mendalam terhadap permasalahan miskin tegar dan telah mengarahkan agensi yang berkaitan bertindak segera berdasarkan data yang dibekalkan.

“Tindakan bersama diselaraskan untuk menoktahkan miskin tegar di Kedah, termasuklah membincangkan secara terperinci cadangan inisiatif kampung tersusun oleh Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri-menteri Persekutuan, Ketua Setiausaha Negara, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, serta pengurusan-pengurusan kanan lain.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat