Kerajaan peruntuk RM75 juta bangunkan PPR untuk 245 pekerja ladang Bestari Jaya

Kerajaan mengumumkan bantuan sebanyak RM75 juta bagi pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi menangani isu perumahan yang melanda 245 pekerja ladang di Bestari Jaya, Tanjung Karang.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju dengan cadangan pembangunan projek PPR berkenaan dalam satu sidang media bertempat di Kuala Selangor pada Isnin.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek PPR itu telah mendapat kerjasama dengan pihak Berjaya Corporation Berhad melalui sumbangan tanah seluas 20 ekar di Lot 25, Ladang Sungai Tinggi, Mukim Bestari Jaya, Kuala Selangor, Selangor.

“Ia bertujuan bagi penempatan semula 245 keluarga peneroka estet getah yang bekerja di lima ladang di Batang Berjuntai (Bestari Jaya) iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak.

“Pelaksanaan projek PPR Bestari Jaya, Tanjung Karang ini telah pun diluluskan pada tahun 2018, namun berikutan penetapan hala tuju baru kerajaan semasa, projek PPR ini perlu ditender semula secara tender terbuka bagi tujuan pembangunan projek PPR berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Kor Ming, sehingga kini isu ini masih tidak dapat diselesaikan sehingga terdapat pekerja ladang yang terpaksa diusir daripada menetap di rumah sedia ada tersebut dan terpaksa mencari tempat berteduh dalam kalangan ahli keluarga mereka.

Sementara itu, beliau berkata, KPKT telah meneliti kembali permohonan pembinaan rumah untuk 245 pekerja ladang yang terkesan itu melalui kerjasama strategik bersama pihak Berjaya Corporation Berhad.

Justeru, KPKT juga sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya dalam menggalas tanggungjawab menyediakan perumahan mampu milik demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat negara ini.

Turut hadir, Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), Suhaimi Ali @ Ahmad.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/05/05/mesyuarat-khas-pembangunan-negeri-kedah-bincang-pembangunan-buat-manfaat-rakyat-fadhlina