Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengecam tindakan serangan fizikal yang dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab ke atas pemain bola negeri berkenaan dan menyeru pihak berkuasa untuk membuat penyiasatan menyeluruh mengenai salah laku itu.
Ia susulan daripada insiden seorang pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim yang disimbah cecair disyaki asid semasa berada di sebuah pasar raya terkemuka di kawasan Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Ahad.
Menerusi kenyataan, baginda memandang serius mengenai kejadian ini dan menyifatkannya sebagai melampau kerana melibatkan nyawa ahli-ahli sukan.
“Baginda khuatir jika insiden seperti ini tidak dibanteras segera, ia akan terus melarat sehingga boleh mengundang perkara lebih buruk pada masa akan datang,” titah baginda menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office.
Susulan itu, Polis Kontinjen Selangor turut mengesahkan bahawa pihak mereka menerima laporan mengenai insiden yang menimpa pemain bola sepak berkenaan dan kertas siasatan telah dibuka untuk mencari pelaku yang bertanggungjawab dalam melakukan salah laku tersebut.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah.
Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengeluarkan kenyataan mengenai insiden berkenaan dengan menyatakan rasa kesal dan sedih terhadap insiden yang bukan sahaja menimpa Faisal Halim, malah pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid yang turut diserang dan disamun.
“FAM juga berharap supaya individu-individu yang bertanggungjawab terhadap insiden ini dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin,” kata kenyataan yang dikeluarkan FAM.
Baca juga: