Tiga mati lemas, tiga hilang dihanyut kepala air ketika ‘hiking’ di Lembah Maksina

Tiga ditemukan lemas manakala tiga lagi masih hilang dan dikhuatiri lemas dalam kejadian kepala air di Lembah Maksina, Lahad Datu pada Ahad.

Semua mangsa sekitar 25 hingga 58 tahun itu dikatakan masuk ke kawasan berkenaan untuk melakukan aktiviti pendakian bersama 11 lagi pendaki.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 8.28 malam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.00 malam, semua 17 mangsa dihanyutkan hingga menyebabkan enam hilang, dua cedera dan sembilan lagi terperangkap.

“Pasukan operasi berjaya tiba di lokasi kejadian pada 9.36 malam dan operasi mengeluarkan sembilan mangsa terperangkap terus dijalankan.

“Tiga jasad sudah ditemui tertimbus di bawah kayu balak pada jam 1.37 pagi dan operasi mengeluarkan mayat mangsa sedang dijalankan pasukan operasi.

“Bagaimanapun identiti ketiga-tiga mangsa yang ditemui masih belum dapat dikenal pasti dan usaha mencari tiga lagi mangsa sedang giat dijalankan,” katanya.

Katanya, panggilan kecemasan dibuat dua mangsa yang berjaya keluar sendiri daripada kawasan kejadian untuk mendapatkan bantuan.

“Sembilan mangsa membabitkan enam lelaki dan tiga wanita berjaya dibawa keluar kira-kira pukul 12 tengah malam,” katanya.

Katanya, dua mangsa yang cedera diberikan rawatan segera oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditangguhkan pada pukul 1.40 pagi tadi berikutan cuaca kurang baik dan keadaan gelap sebelum operasi mencari menyelamat disambung semula pada pukul 6 pagi.

“Operasi turut dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Perhutanan,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat