Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menerima kunjungan hormat daripada Menteri Perdagangan Arab Saudi, Dr Majid Abdullah Alkassabi, di pejabatnya di Putrajaya, pada Isnin.
Ewon memaklumkan, antara perkara yang dibincangkan bersama ialah kerjasama strategik antara Malaysia dan Arab Saudi khususnya dalam sektor keusahawanan.
“Kami membincangkan kerjasama strategik yang boleh dijayakan antaranya dalam industri halal, akreditasi perusahaan kecil dan sederhana, keusahawanan sosial, pembangunan kapasiti dan francais di antara kedua-dua negara.
“Perbincangan spesifik akan diadakan di peringkat pegawai-pegawai agensi kedua-dua negara bagi menyusuli hasil pertemuan ini,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Selasa.
Dalam pada itu, Ewon turut merakamkan penghargaan di atas jemputan Menteri Perdagangan Arab Saudi untuk mengadakan lawatan kerja balas ke Arab Saudi.
“Mudah-mudahan pertemuan ini membuahkan berkat kepada negara kita terutamanya dalam perusahaan kecil dan sederhana serta gerakan koperasi,” katanya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Suriani Datuk Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (KSU), Setiausaha-Setiausaha Bahagian, Ketua Eksekutif dan pegawai kanan agensi-agensi KUSKOP seperti SME Corp, SME Bank, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Baca juga: