Malaysia jalin hubungan diplomatik dengan Senegal sejak 1986, Mohamad Hasan buat Lawatan Rasmi

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengadakan Lawatan Rasmi ke Republik Senegal, Afrika pada 6 dan 7 Mei 2024.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri, ia merupakan lawatan pertama ke Senegal oleh Menteri Luar Malaysia sejak Malaysia dan Senegal menjalinkan hubungan diplomatik pada tahun 1986.

“Semasa lawatan tersebut, Menteri Luar Negeri telah bertemu dengan rakan sejawat beliau, PYT Yassine Fall bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Senegal serta isu global yang menjadi perhatian bersama.

“Mereka turut menzahirkan rasa gembira dengan hubungan baik dan mesra di antara kedua negara, serta bersetuju untuk bekerjasama erat bagi memperdalam kerjasama demi kepentingan bersama.

“Dalam pada itu, bidang berkepentingan yang dikenal pasti terlibat termasuk perdagangan, pertanian, pendidikan, tenaga boleh diperbaharui, industri halal, kewangan Islam, wakaf dan zakat, perubatan dan pendigitalan,” katanya menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, Mohamad Hasan juga telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Senegal, TYT Bassirou Diomaye Diakhar Faye.

“Pertemuan tersebut memberikan peluang untuk mengulangi komitmen Malaysia dalam mengukuhkan ikatan persahabatan di antara kedua-dua negara.

“Beliau turut berkesempatan untuk bertemu dengan diaspora Malaysia di Dakar serta alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP),” katanya.

Sehubungan itu, lawatan Malaysia ke Senegal berkenaan menegaskan komitmen negara untuk mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan Senegal selain, memajukan kerjasama antara kedua negara di forum pelbagai hala.

Pada 2023, Senegal merupakan rakan dagang ke-15 terbesar Malaysia di Afrika pada, dengan nilai dagangan bernilai RM1.04 bilion (USD227.49 juta). Ini merupakan peningkatan 16 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2022.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat