Malaysia telah menyumbang sejumlah 110 buah kontena mengandungi barangan asas kepada Gaza bernilai lebih RM12 juta yang boleh memanfaatkan kira-kira 60,000 keluarga di sana.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata demikian ketika mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melancarkan kontena Bantuan Kemanusiaan Kecemasan ke Gaza, Palestin oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Kaherah, Mesir pada Isnin.
“Kontena tersebut mengandungi makanan asas seperti beras, tepung dan minyak serta kit kebersihan diri seperti ubat gigi, sabun dan tuala wanita,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Nik Nazmi menyatakan inisiatif ini berjaya dilaksanakan oleh kerajaan kerana hubungan diplomatik yang baik antara Mesir dan Malaysia, termasuk peranan langsung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membolehkan kontena Malaysia melalui perjalanan yang lancar.
“Meskipun Malaysia bukanlah negara besar, tradisi bersuara lantang dan ‘punching above our weight‘ alam isu kemanusiaan seperti aparteid, Palestin dan Bosnia adalah tradisi sejak awal kemerdekaan negara,” ujarnya.
Nik Nazmi turut menekankan bahawa dunia maju bercakap tentang sifar bersih karbon, tetapi tidak tegas mengenai isu letupan berterusan, pencemaran air kritikal dan kerosakan tanah di Gaza.
Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM merangkap Ketua Misi, Dr Sani Araby Abdul Alim Araby; Charge D’Affairs Sementara Malaysia ke Kaherah, Rafedah Abdul Aziz dan Presiden MAPIM, Azmi Abdul Hamid.
Terdahulu, Misi Bantuan Kecemasan ke Gaza tersebut telah dilancarkan oleh Zahid pada Mac lalu di Kuala Lumpur.
Baca juga: