Malaysia tidak campur tangan urusan perniagaan syarikat global pada DSA, NATSEC

Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa hubungan beberapa syarikat pertahanan global dengan negara tertentu adalah urusan perniagaan yang tidak akan dicampuri oleh Malaysia.

Perkara tersebut dijelaskan berikutan beberapa penyertaan syarikat pertahanan global dalam pameran Defense Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2024 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pameran tersebut sangat jelas iaitu menyediakan ruang dan memberi peluang kepada semua pihak untuk mempamerkan kepakaran serta teknologi terbaharu pertahanan.

“Pameran ini membolehkan kerajaan dari pelbagai negara dan para pemain industri global meneroka pelbagai teknologi dan inovasi termaju demi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan masing-masing.

“Pameran ini juga tidak memihak atau memberi kelebihan kepada mana-mana negara atau syarikat tertentu.

“Sebaliknya dibuka kepada semua negara dan pemain idustri termasuk penyertaan besar dari negara-negara Islam seperti Republik Turkiye, Republik Indonesia, United Arab Emirates (UAE), Iran, Bosnia dan Herzegovina dan Pakistan,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa pameran tersebut dianjurkan oleh pihak swasta dengan kos dan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur.

“Kerajaan Malaysia tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan dalam penganjurannya dan tiada perolehan pertahanan yang akan dilaksanakan tanpa mengambil kira pendirian global Malaysia terutama konflik Palestin-Israel.

“Dalam masa sama, Kementerian Pertahanan sentiasa secara konsisten mendukung dasar negara menentang segala bentuk ketidakadilan ke atas negara Palestin,” katanya.

Terdahulu, Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 yang sedang berlangsung mempamerkan teknologi dan aset peperangan elektronik tercanggih di dunia dalam sektor pertahanan darat, udara dan laut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat