Susulan kejadian pokok tumbang berhampiran Stesen Monorel Bukit Nanas yang berlaku pada Selasa, pihak Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan melaksanakan perkhidmatan alternatif.
Sehubungan itu, perkhidmatan alternatif dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan perjalanan penumpang.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Rapid Rail, terdapat empat stesen monorel akan ditutup kepada orang ramai disebabkan keperluan penutupan bekalan kuasa di landasan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan baikpulih.
“Stesen-stesen tersebut adalah Stesen Monorel Bukit Nanas, Stesen Monorel Raja Chulan, Stesen Monorel Bukit Bintang dan Stesen Monorel Imbi.
“Selain itu, bagi menyokong perkhidmatan alternatif tersebut agar para penumpang dpat meneruskan perjalanan, pihak Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma di antara stesen-stesen yang terjejas,” katanya menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, antara butiran perkhidmatan alternatif yang disediakan adalah tren dari antara Stesen Monorel KL Sentral dan Stesen Monorel Hang Tuah platform 2 – ulang-alik (KL Sentral-Tun Sambathan-Maharajalela-Hang Tuah).
Seterusnya, tren di antara Stesen Monorel Medan Tuanku dan Stesen Monorel Titiwangsa platform 1 – ulang-alik (Medan Tuanku-Chow Kit-Titiwangsa) dan sepuluh buah bas percuma ulang-alik (Hang Tuah-Imbi-Bukit Bintang-Raja Chulan-Bukit Nanas-Medan Tuanku).
“Penumpang yang terkesan dengan ganguan luar jangka ini disarankan untuk menggunakan lain-lain perkhidmatan tren sebagai perjalanan alternatif.
“Antara lokasinya adalah Stesen Monorel KL Sentral – LRT KL Sentral dan MRT Muzium Negara; Hang Tuah – LRT Hang Tuah; Bukit Bintang – MRT Bukit Bintang; Bukit Nanas – LRT Dang Wangi; Medan Tuanku – LRT Sultan Ismail (melalui jejantas) dan Titiwangsa – LRT dan MRT Titiwangsa,” katanya.
Baca juga: