VAMR 3D kekalkan kuasa kompetitif Malaysia dalam pasaran aeroangkasa

Pelancaran Makmal Visualization and Virtual Augmented Mixed Reality (VAMR) 3D dapat mengekalkan Malaysia sebagai kuasa yang kompetitif dalam pasaran aeroangkasa di pentas dunia.

Perkara tersebut disampaikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Aziz yang turut menyatakan kemudahan ini dapat membuka jalan untuk bakat dan perniagaan tempatan berkembang ke seluruh dunia.

“VAMR 3D ini juga turut menyasarkan 1,600 pekerja teknikal berkemahiran tinggi dalam tempoh dua tahun untuk menyokong industri aeroangkasa negara.

“Makmal VAMR 3D ialah inisiatif yang diketuai oleh Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan Malaysia (NAICO Malaysia) di bawah Pusat Kecemerlangan Aeroangkasa Malaysia (MyAERO),” katanya dalam kenyataan.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika melancarkan VAMR 3D di Pameran Defence Services Asia (DSA) Ke-18 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau turut mengambil peluang untuk singgah ke beberapa reruai termasuk Sapura dan Tentera Darat Malaysia.

Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 tersebut turut disertai lebih 1,324 syarikat dari 60 negara yang mempamerkan teknologi pertahanan dan keselamatan masing-masing bermula Isnin lalu sehingga Khamis.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat