Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) melancarkan Sekolah Wanita (SWAN) yang diluncurkan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di Putrajaya pada Selasa, bagi mempersiap golongan wanita mendepani cabaran untuk meneraju negara.
Ketuanya, Fadhlina Sidek berkata, SWAN merupakan suatu institusi pelatihan bagi mempersiap golongan wanita mendepani cabaran kepemimpinan semasa dalam masyarakat.
“SWAN akan dibuka kepada semua individu wanita di Malaysia tanpa mengira latar belakang, namun akan melalui proses pemilihan untuk angkatan awal pengambilan peserta, memandangkan tempatnya yang terhad.
“Sekolah Wanita ini akan memberi fokus kepada tujuh domain pelatihan, antaranya politik-kenegaraan, ekonomi, advokasi, demokrasi, perundangan, kesejahteraan dan personaliti keterampilan sebagai teras utama sukatan pendidikannya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Menurut Fadhlina, bagi mengemudi kepemimpinan era pascanormal ini, wanita PKR sebelum ini telah meluncurkan inisiatif Asimilasi Struktur Asas Kepimpinan (ASAK), sebagai suatu inisiatif wanita mengorak langkah ke arah digitalisasi, bagi membantu governans keorganisasian di seluruh peringkat wanita PKR.
Tambah beliau, gabungan antara penggunaan teknologi digital dalam pengurusan ASAK dan pengukuhan pelatihan untuk warga SWAN, maka terpadulah dua elemen penting pergerakan wanita PKR ini.
Difahamkan, setakat ini SWAN hanya melibatkan seramai tujuh orang pakar pelbagai bidang yang berperanan selaku pembimbing dan tenaga pengajar.
Baca juga: