Bomba guna kaedah ‘water-bombing’ padam kebakaran hutan di Dungun

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menggunakan kaedah ‘water bombing’ untuk memadam kebakaran hutan di sekitar daerah Dungun, Terengganu pada Khamis.

Pesawat jenis Mi-17-IV yang dikendalikan oleh PKPgB Mohd Azuna Mohamed Sabri dan PPgB Sarifudin Ladulu telah berlepas dari Subang, Selangor ke Lapangan Terbang Kerteh, Terengganu.

Pesawat yang dikendali mereka telah menjalankan kerja-kerja pemadaman api bermula 2.40 petang hari yang sama di sekitar Kampung Che Lijah, Dungun.

“Sumber air yang diambil adalah daripada sungai yang berhampiran dan pesawat telah berjaya melakukan ‘dump’ sebanyak 30 kali sepanjang operasi dijalankan.

“Operasi pemadaman akan bersambung semula pada Jumaat untuk memastikan kebakaran hutan berkenaan dapat dielakkan,” kata kenyataan yang dikeluarkan JBPM.

Operasi tersebut melibatkan lapan orang kru bomba terdiri daripada jurutera pesawat, Air Quarter Master (AQM), browser dan anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB).

Operasi tersebut turut dihadiri oleh Ketua Bomba Zon Dungun, PgKB II Azman Alias; Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, PKPgB Shahrizal Shamsudin dan Pegawai ADO Daerah Dungun.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat