Malaysia perlu ada rancangan menyeluruh bagi hadapi ‘megatrend’, cabaran global

Malaysia perlu membuat perancangan yang menyeluruh dalam menghadapi ‘megatrend’ dan cabaran global dalam mengekalkan kelestarian dan memupuk kemampanan bagi eksport Malaysia serta permintaan hijau.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia khususnya daripada lensa kementerian di bawah pimpinannya perlu mengambil kira faktor daripada segi tarikan pelaburan, peningkatan eksport dan pemerkasaan industri.

“Malaysia perlu mempunyai pendirian yang tegas mengenai kedaulatannya untuk kekal sebagai negara perdagangan yang tidak boleh dipaksa untuk memilih antara mana-mana kuasa besar yang bersaing di dunia,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Selain mengekalkan kedaulatan, Tengku Zafrul turut menyatakan komitmen Malaysia untuk mencapai karbon sifar.

“Dari lensa MITI, kami perlu menarik lebih banyak pelaburan hijau termasuk tenaga boleh diperbaharui, mobiliti elektrik, industri hijau dan sebagainya.

“Malaysia juga mengambil serius kepengerusian Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun 2025 dan salah satu fokus utama adalah bagaimana kami boleh memajukan kelestarian di ASEAN,” ujarnya.

Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa tidak kira apa cabaran global sekalipun, MITI akan terus mengekalkan usaha untuk memartabatkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan dan perdagangan lestari di Asia.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di 11th Singapore Dialogue on Sustainable World Resources yang bertemakan Next Economy and Future of Resources di Singapura pada Khamis.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat