Seorang pelajar sekolah menengah yang berusia 14 tahun maut apabila terbabit dalam satu kemalangan yang melibatkan pertembungan dengan sebuah kenderaan di kilometer 1.0 Jalan Bandar Penawar – Punggai, Johor.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kenderaan jenis Kia Rio dan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego Solariz.
“Dalam kemalangan tersebut, penunggang motosikal merupakan seorang pelajar sekolah menengah telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan, manakala, pembonceng motosikal itu mengalami kecederaan patah tangan kiri dan masih mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
“Walaubagaimanapun, pemandu kenderaan tersebut yang merupakan seorang wanita berumur 22 tahun tidak mengalami kecederaan dan kes masih dalam siasatan polis,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika disabitkan kesalahan akan dikenakan penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun,” katanya.
Justeru itu, Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Tinggi menasihatkan agar orang ramai sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalan raya.
Baca juga: