Penyanyi rock popular, Datuk Amy Search meluahkan rasa terkilan dengan dua orang bekas anggota iaitu Din dan Kid yang masih didakwa berdiam diri berhubung isu royalti selepas mereka melancarkan album Rockology Search: Kid’Din Collection Series pada tahun 2022.
Menurut Amy atau nama sebenarnya Datuk Suhaimi Abdul Rahman, tindakan mereka disifatkan keterlaluan, sekali gus tidak menghormati perjuangan kumpulan rock legenda itu.
“Saya nak tanya kepada Din dan Kid mana kami punya royalti album yang kalian jual? Itu hak anak bini saya, Nasir dan arwah Yazid.
“Mereka jual album tersebut tanpa sebarang dokumen dan tiada satu sen pun kita dapat. Sedangkan bila kami tandatangi kontrak digital, mereka dapat bahagian masing-masing.
“Banyak benda yang mereka langgar dan langsung tidak hormat kami. Mereka tahu perkara itu salah,” katanya ketika ditemui di majlis jamuan hari raya Go Search Records & Entertainment di Villa Zamara, Sungai Penchala pada Khamis.
Selain itu, dia juga kecewa dengan sikap Kid dan Din yang seolah-olah tidak peduli soal pembahagian royalti menerusi lagu-lagu yang mereka muatkan di dalam album berkenaan.
“Kid dan Din tidak membuat sebarang perbincangan dengan kami. Mereka lancarkan album tersebut dan buat tak tahu sahaja.
“Namun, apa yang paling tidak seronok bila mereka beritahu salah seorang rakan kami yang mereka nak bayar duit royalti itu mengikut ehsan mereka sendiri. Pada saya perbuatan itu sangat teruk.
“Lagu-lagu dalam album Rockology itu merupakan lagu yang selalu kami mainkan. Tindakkan mereka ini sudah pun melanggar Hak Cipta Terpelihara. Kalau mereka nak bayar, macam mana nak tahu jumlahnya? Kita tiada satu dokumen pun ketika ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Amy turut memaklumkan dia bakal berangkat menunaikan ibadah bersama isteri tersayang, Norhasliza Hassan 6 Jun depan.
Baca juga: