SPRM, AS perkukuh kerjasama dalam bidang pencegahan rasuah 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia menjalin usaha sama dengan Kerajaan Amerika Syarikat (AS) bagi memperkukuhkan usaha dalam bidang pencegahan rasuah di peringkat antarabangsa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menyambut baik peluang untuk mengadakan kerjasama itu dan ini selari dengan usaha kerajaan yang telah melancarkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028, oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.

Beliau berkata, hasrat itu telah dinyatakan oleh Coordinator of Global Anti-Corruption, United States Department of State (DOS), Richard Nephew yang mahu memantapkan hubungan kerjasama antara SPRM dan Kerajaan Amerika Syarikat melalui perkongsian amalan terbaik dan kajian-kajian antirasuah global serta bantuan memperkasakan keupayaan teknikal atau pembangunan kapabiliti SPRM melalui latihan bersasar.

“SPRM bersedia membentangkan perincian Pelan NACS ini pada masa hadapan. Mereka juga bersedia membantu SPRM dalam bidang-bidang keutamaan NACS khususnya pemerkasaan tatakelola dalam perolehan kerajaan yang mudah terdedah kepada amalan rasuah dan salahguna kuasa sama ada melalui reformasi institusi, undang-undang mahupun penambahbaikan proses kerja yang kritikal. 

“Ini termasuklah menerokai keupayaan aspek Kecerdasan Buatan (AI) serta analisa ‘Big Data’ dalam membangunkan penilaian Risiko Rasuah Nasional (NRA) yang boleh membantu usaha pembanterasan rasuah lebih berkesan berdasarkan analisa corak dan trend jenayah,” katanya dalam satu kenyataan ketika menerima kunjungan hormat yang turut disertai pegawai Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia di Ibu Pejabat SPRM, pada Khamis.

Sementara itu, perbincangan turut menyentuh isu global seperti Foreign Funding Policy, pelaksanaan DPA dan cabaran penyiasatan jenayah rentas sempadan.

Turut hadir Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan (BDPP) SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar dan Pengarah Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat