Tentera Isreal mula membedil timur Rafah

Tentera Israel yang menyerang selatan Rafah ketika rundingan gencatan senjata berjalan, kini mula membedil timur Rafah sejurus selepas rundingan tamat tanpa sebarang persetujuan dengan Hamas.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengambil pendekatan tidak menghiraukan ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, malah meningkatkan serangan di Rafah.

Biden terdahulu mengancam untuk menahan bekalan senjata kepada Israel jika regim Zionis itu terus menyerang bandar-bandar di Gaza.

Menurut seorang pegawai kanan Israel, rundingan terbaharu di Kaherah untuk hentikan serangan di Gaza sudah berakhir tanpa capai sebarang kesepakatan.

Katanya, ia mendorong Israel meneruskan serangan di Rafah dan bahagian lain di Semenanjung Gaza seperti mana dirancang pasukan pertahanan Israel (IDF) sebelum ini.

“Israel sudah mengemukakan kepada pihak pengantara mengenai cadangan Hamas untuk perjanjian pembebasan tahanan,” katanya.

Sebelum ini, Netanyahu melalui kenyataan melalui rakaman video, menyatakan akan bertempur habis-habisan sehingga Hamas hapus sama sekali.

“Jika perlu, kita akan tetap bertempur walaupun dengan hanya bersenjatakan kuku jari penduduk Israel sekalipun, namun kita mempunyai lebih daripada itu,” katanya.

Sementara itu, di Gaza, kumpulan pejuang Hamas dan Jihad Islam menyatakan ahli mereka berjaya melakukan serangan terhadap kereta kebal Israel yang berada di pinggir timur bandar itu.

Menurut penduduk dan pegawai perubatan di Rafah, iaitu kawasan bandar terbesar di Gaza yang belum dikuasai tentera darat Israel, serangan Zionis berhampiran masjid membunuh sekurang-kurangnya tiga orang.

Sementara itu, serangan udara Israel ke atas dua kediaman di Sabra, Rafah, pula membunuh sekurang-kurangnya 12 orang termasuk wanita dan kanak-kanak.

Menurut beberapa sumber, antara yang maut ialah komander kanan Hamas, Briged Al-Mujahedeen, dan keluarganya, selain keluarga seorang lagi ketua kumpulan terbabit.

Hamas didakwa Israel sedang bersembunyi di Rafah, yang menempatkan ratusan ribu penduduk Gaza bagi berlindung daripada serangan.

Di AS, Rumah Putih sekali lagi mengharapkan supaya Israel tidak melancarkan operasi ketenteraan menyeluruh di Rafah.

Menurut jurucakapnya, John Kirby, pihaknya tidak percaya tindakan itu adalah langkah yang betul untuk mengalahkan Hamas.

“Menghancurkan Rafah, pada pandangan (Biden) tidak akan memberikan kemajuan terhadap misi mereka,” katanya.

Kirby berkata, berikutan Hamas menerima tekanan yang kuat daripada Israel, maka ada pilihan lain yang lebih baik untuk menumpaskan saki baki kepimpinan kumpulan itu daripada melakukan serangan yang membahayakan orang awam.

Sementara itu, jurucakap Ketua Angkatan Tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, berkata tentera IDF sudah mempunyai keperluan senjata yang mencukupi untuk operasi di Rafah dan kawasan lain seperti dirancang.

Katanya, melalui operasi, angkatan bersenjata Israel membunuh, 50 lelaki bersenjata Palestin di timur Rafah sebelum menemui beberapa terowong, namun Hamas tidak memberikan komen terhadap perkembangan itu. – Reuters

https://malaysiabangkit.com/2024/05/07/negara-tetap-pendirian-tidak-benarkan-syarikat-israel-masuk-pm

Anda Mungkin Berminat