Mendiang Mutang Tagal dikebumi di Miri, Sarawak Isnin

Yang Dipertua Dewan Negara, mendiang Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia pada Jumaat akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sidang Injil Borneo (SIB) Lambir di bandar raya Miri, Sarawak, pada Isnin (13 Mei) ini.

Menurut kenyataan dari pejabat Yang Dipertua Dewan Negara, majlis penghormatan terakhir buat mendiang Mutang akan diadakan di Nirvana 2, Jalan Dewan Bahasa Kuala Lumpur pada Sabtu dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang.

Kenyataan itu juga menyatakan, satu lagi majlis penghormatan terakhir akan diadakan di Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) di Miri bermula jam 10.00 pagi Ahad sebelum dibawa ke Perkuburan SIB Lambir keesokan harinya untuk dikebumikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan takziah berkata, pemergian mendiang pastinya satu kehilangan besar buat negara dan Sarawak.

“Takziah buat keluarga mendiang Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal, yang telah menghembuskan nafas terakhir.

“Segala jasa dan pengorbanannya pasti dikenang rakyat selama-selamanya. Semoga keluarga mendiang tabah berdepan dugaan ini,” katanya.

Mendiang Mutang menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.46 pagi pada Jumaat ketika masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga anak.

Anda Mungkin Berminat