Seorang maut, 5 cedera kereta langgar tunggul kayu

Seorang wanita maut manakala lima lagi cedera berikutan kereta yang dinaikinya terbabas setelah melanggar tunggul kayu di Bahau.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, kenderaan jenis Proton Iswara itu telah terbabas ke bahu jalan setelah melanggar tunggul kayu.

Katanya, seramai enam anggota bergegas ke lokasi kejadian yang berlaku di Jalan Bahau – Batu Kikir, sekitar pada pukul 1.42 pagi.

PBK II (TBK), Abd Aziz Kassim selaku Komander Operasi melaporkan, terdapat enam mangsa yang terlibat terdiri daripada satu lelaki dewasa, satu wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan telah tersepit di dalam kenderaan itu.

“Anggota Bomba telah bertindak menjalankan operasi penyelamatan bagi mengeluarkan kesemua mangsa.

“Namun, mangsa wanita dewasa didapati telah meninggal dunia tidak lama selepas itu dan disahkan oleh pegawai perubatan KKM,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.

Untuk info, lima mangsa yang lain kesemuanya mengalami kecederaan telah diserahkan kepada petugas ambulans KKM untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat