Waris, mangsa insiden pokok tumbang terima manfaat PERKESO

Waris dan mangsa tragedi pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur awal minggu ini menerima manfaat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai sokongan buat mereka yang terjejas.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim turut meluangkan masa menyertai lawatan ke Shah Alam untuk menziarahi isteri dan anak-anak kepada Mohd Rizal, salah seorang pemandu e-hailing yang terkorban dalam kejadian tersebut.

Steven Sim mengumumkan bahawa isteri Mohd Rizal, dikenali sebagai Ida akan menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 sebagai bantuan awal untuk menguruskan keperluan setelah kehilangan suaminya.

Beliau turut memberitahu bahawa Ida layak menerima faedah orang tanggungan sebanyak lebih kurang RM3,400 setiap bulan sehingga hujung hayatnya, sebagai satu bentuk sokongan lanjutan daripada PERKESO.

Dalam suasana duka, Steven Sim menyatakan hasratnya untuk memenuhi janji arwah ayah kepada anak-anaknya, Ielfa dan Irfan, yang ingin mengambil lesen memandu sebelum kejadian malang itu berlaku.

Selain keluarga Mohd Rizal, seorang lagi mangsa insiden berkenaan, Abdul Hayyi Al Hakimi Nazli turut menerima bayaran faedah dari PERKESO kepadanya kerana dia merupakan pemandu perkhidmatan e-hailing dan pencarum kepada Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), PERKESO.

Dalam kesedihan yang mendalam, manfaat yang diberikan oleh PERKESO kepada waris mangsa tragedi ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam membantu keluarga-keluarga yang terjejas oleh kejadian yang tidak diingini.

Turut hadir dalam lawatan tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Terdahulu, sebatang pokok telah tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur hingga mengakibatkan kerosakan kerosakan fasiliti awam di kawasan itu termasuk perhentian bas di tepi laluan berkenaan, termasuk 17 buah kenderaan dan landasan monorel berhampiran turut terhalang oleh dahan daripada pokok tumbang tersebut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat