Kemenangan PH beri petanda terus kerja kuat – Anwar

Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu memberi isyarat jelas untuk Kerajaan Perpaduan terus bekerja kuat menarik para pelabur seterusnya memulih serta memperkuat ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Perpaduan akan terus menggalas amanah dan tanggungjawab itu dengan baik demi rakyat.

“Pada Majlis Malam Sambutan 25 Tahun PKR di Sentul malam ini, saya mulakan ucapan dengan mengucapkan tahniah kepada calon PH yang berjaya mempertahan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu.

“Tahniah dan terima kasih juga kepada seluruh jentera Kerajaan Perpaduan yang mempamerkan kesepakatan dan semangat luar biasa bagi mempertahan kemenangan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Anwar turut mengingatkan semua ahli PKR terutama generasi muda untuk menghayati idealisme dan tidak terpukau dengan godaan memunggah kekayaan.

Tambah beliau, bakat pemimpin muda perlu digilap dan bersedia untuk meneruskan perjuangan Keadilan mempasak perubahan.

Pada PRK itu, calon PH, Pang Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan tiga pencabarnya iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat