Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan rutin tugasnya pada Ahad di Perdana Putra, Putrajaya sebelum berangkat ke Doha, Qatar.
“Hari ini di pejabat selesaikan beberapa perkara sebelum berangkat ke Doha petang ini.
“Doakan semuanya dipermudahkan, Insya-Allah,” kata Anwar.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, Perdana Menteri turut berkongsi beberapa keping gambar bersama Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin di pejabatnya.
Anwar dilaporkan akan mengadakan lawatan rasmi ke Qatar selama tiga hari bermula pada Isnin atas jemputan Yang Mulia Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani, Amir Qatar.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, pada lawatan rasmi itu Anwar diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Jelas kenyataan itu lagi, lawatan sulung Perdana Menteri ke Qatar adalah bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Qatar.
“Selain diberikan sambutan rasmi oleh Amir Qatar, Perdana Menteri juga akan mengadakan kunjungan menghadap ke atas Yang Mulia Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani.
“Lawatan ini juga akan melibatkan pertemuan dua hala di antara Perdana Menteri dengan Tuan Yang Terutama Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani, Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri Qatar,” katanya.
Wisma Putra turut memaklumkan, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kemajuan hubungan dua hala terutamanya mengenai kerjasama ekonomi dan pendidikan serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk konflik Palestin-Israel.