Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menegaskan kepada para usahawan terutama golongan muda agar lebih bertanggungjawab dalam menyelesaikan hutang pinjaman yang telah diberikan.
Menurut beliau, pihak TEKUN Nasional sudah mengatur strategi menerusi kaedah pembayaran semula tersebut secara atas talian (online) kerana ianya adalah lebih memudahkan.
“Pihak kami (TEKUN Nasional) membuat satu platform di mana peminjam boleh membuat bayaran semula secara atas talian sahaja dan jumlah kutipan sangat memberangsangkan kerana jumlah kutipan melebihi RM33 juta pada tahun lalu.
“Tahun ini pula merupakan tahun terbaik di mana jumlah kutipan yang kita capai sejak saya mengambil alih TEKUN Nasional,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Pada 22 April lalu, TEKUN Nasional telah memanjangkan tempoh bayaran semula tunggakan pembiayaan sehingga hujung tahun ini kepada semua peminjam tabung berkenaan.
Tempoh itu diberikan selepas mengambil kira faktor usahawan yang masih bertungkus-lumus membangunkan semula perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19 pada 2020.
Dalam pada itu, Abdullah Sani turut berkongsi tentang objektif TEKUN Nasional yang mengetengahkan konsep membantu serta memberi peluang kepada usahawan muda dalam mengembangkan perniagaan masing-masing dan seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Jika diingatkan semula, amanat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin membantu peniaga-peniaga di negara ini kerana produk yang dihasilkan terlampau banyak.
“Tidak kira dari setiap daerah dan negeri pasti kami bantu kerana peniaga mahupun penjawat awam, perniagaan itu boleh dijadikan sumber pencapaian terbaik yang boleh merubah hidup mereka,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap agar rakyat Malaysia dapat keluar daripada kepompong miskin tegar dan memupuk sikap bertanggungjawab itu secara menerus.
“Perancangan yang baik adalah datangnya daripada orang bijak kerana bila ada sikap bertanggungjawab dalam melunaskan hutang, pulangan duit pinjaman itu akan dikembalikan kepada orang yang memerlukan bantuan pada masa akan datang.
“Besar harapan saya agar rakyat Malaysia terus maju ke hadapan dan peniaga-peniaga kecil ini dapat memperoleh kebaikan menerusi bantuan yang disediakan buat mereka,” katanya.
Baca juga: