Politik

Lawatan rasmi delegasi KEADILAN perkukuh hubungan diplomatik Malaysia-China

Delegasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) telah berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada Isnin malam atas jemputan rasmi daripada Kerajaan Republik Rakyat China (PRC) sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan PRC.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KEADILAN, undangan rasmi pernah dipanjangkan PRC kepada pelbagai parti politik di Malaysia dan luar negara sejak bertahun lama.

“Undangan kepada KEADILAN juga bertujuan untuk terus mengukuhkan hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan China sejak termeterainya kenyataan bersama antara Tun Abdul Razak dan Zhou Enlai pada tahun 1974.

“Menerusi lawatan ini, PRC memberi ruang kepada parti politik negara serantau untuk mempelajari serta memahami dasar, inisiatif dan program yang berjaya melonjakkan PRC menjadi ekonomi kedua terbesar dunia.

“Selain pertemuan dengan Menteri Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat, TYT Liu Jianchou, lawatan rasmi selama 10 hari ini turut meliputi beberapa sesi mesyuarat, jalinan kerjasama serta lawatan ke syarikat-syarikat terkemuka China dalam teknologi hijau, keterjaminan makan dan bandar pintar,” katanya menerusi satu kenyataan.

Selain itu, lawatan tersebut memberi peluang kepada delegasi KEADILAN untuk menilai kemajuan, memperkukuhkan kerjasama dua hala sekali gus bertukar pandangan mengenai pembangunan ekonomi, teknologi dan kejayaan inisiatif kerajaan seperti program pembasmian kemiskinan di China.

Difahamkan, lawatan rasmi itu diketuai oleh Ketua Delegasi, Nurul Izzah Anwar juga merangkap Naib Presiden KEADILAN, manakala jurucakap rasmi lawatan itu diwakili oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin merangkap Setiausaha Politik Pejabat Presiden.

“Lawatan rasmi ini turut disertai barisan pimpinan Pusat, Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN.

“Dalam pada itu, Nurul Izzah dijadualkan untuk menyertai Sesi Dialog Antarabangsa bersama Dr Eric X. Li, Pengerusi Chengwei Capital dan Guancha.n serta Professor Busani Ngcaweni, Ketua Pengarah Sekolah Kebangsaan di Afrika Selatan anjuran Beijing Club for International Dialogue,” katanya.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close