Nasional

Pastikan harga kediaman masuk akal, KPKT jalankan panduan pemetaan

Kerajaan Perpaduan kini sedang melaksanakan panduan pemetaan harga kediaman mampu milik bagi memastikan ia sesuai dan masuk akal.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata panduan pemetaan di bawah Dasar Perumahan Negara itu adalah lebih saintifik dengan mengambil kira negeri dan lokaliti tertentu.

“Sebagai contoh, sebelum ini di bawah Dasar Perumahan Negara, definisi kediaman mampu milik tidak melebihi RM300,000, tetapi harga rumah mampu milik di Kelantan dan Kuala Lumpur (jika) diukur pada titik yang sama iaitu RM300,000 mungkin tidak masuk akal.

“Justeru, bagi memastikan ia sesuai, KPKT sedang melaksanakan panduan pemetaan yang lebih saintifik di bawah Dasar Perumahan Negara bagi memastikan jenis harga yang sesuai boleh ditawarkan, bergantung kepada negeri dan lokaliti,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Perumahan Serantau REHDA Institute di Petaling Jaya pada Selasa.

Sementara itu Kor Ming berkata, sebanyak 139 kawasan meliputi 1,300 ekar tanah di Kuala Lumpur yang berpotensi telah disenaraikan untuk pembangunan semula di bandar dengan 91 daripadanya merupakan tapak kediaman yang termasuk dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040).

Justeru kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang mengubah Kuala Lumpur menjadi pusat bandar masa depan terkemuka dan contoh melalui beberapa pelan yang dirancang.

“Banyak bangunan di Malaysia kini semakin usang dan usaha pembaharuan boleh membantu dalam memulihkan serta menghidupkan semula kawasan bandar yang usang dan tidak berdaya maju dari segi ekonomi melalui pelaksanaan Garis Panduan Pembaharuan Bandar.

“Semua pelan ini tidak akan berjaya jika banyak bangunan di bandar kita termasuk hartanah strata tidak dihuni dan terbiar kerana isu undang-undang yang membawa kepada potensi kawasan setinggan bandar,” katanya.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close