Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan lawatan rasmi ke Republik Kyrgyz selama dua hari selepas menyelesaikan tugasan di Qatar pada Rabu.
Antara objektif lawatan Anwar bersama delegasi serta jemaah menteri adalah untuk mengukuhkan hubungan baik antara kedua-dua negara di samping mencari kerjasama baharu antara kedua negara.
“Republik Kyrgyz adalah negara pertama di Asia Tengah untuk dikunjungi selain Kazakhstan dan Uzbekistan.
“Beberapa program rasmi dan tinjauan mesra telah diatur sepanjang lawatan ini sebelum saya dan delegasi berlepas ke destinasi seterusnya,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Anwar memulakan lawatan rasmi ke Qatar bermula Isnin hingga Rabu untuk mengintai peluang pelaburan dengan meyakinkan kapten industri negara berkenaan bahawa Malaysia merupakan destinasi pelaburan yang menguntungkan.
Selain itu, Anwar turut menyentuh isu kemanusiaan dengan menyatakan komitmennya untuk menggerakkan ikhtiar menghentikan serangan di Rafah, Palestin ketika bertemu dengan delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh dan mantan pengerusi kumpulan itu, Khaled Mashal.
Anwar turut mengunjungi negara tersebut atas jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thanic.
Baca juga: