Kelab Bola Sepak Melaka, Sri Pahang berdamai susulan insiden pergaduhan pemain bawah 18 tahun

Polis Kontinjen Melaka membuat kenyataan bahawa pihak Persatuan Bola Sepak Melaka telah berdamai secara baik dengan pasukan Kelab Bola Sepak Sri Pahang berhubung insiden pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan tersebut pada 12 Mei lalu.

Ketua Polis Melaka, Deputi Komisioner Datuk Wira Zainol Samah berkata, kedua-dua pasukan telah bersetuju untuk menyelesaikan masalah antara mereka di peringkat dalaman persatuan.

Ia susulan daripada satu video berdurasi 44 saat yang tular di laman sosial, memaparkan insiden pergaduhan antara pemain simpanan Sri Pahang, Adam Syaqir Barzu yang menendang seorang pemain Melaka.

Pemain berkenaan kemudiannyan dilayangkan kad merah akibat perbuatannya itu.

Beliau turut menyatakan kejadian tersebut berlaku pada 12 Mei lalu sewaktu perlawanan bola sepak Piala Belia U-20, melibatkan pemain bola sepak dibawah umur 18 tahun.

“Insiden tersebut berpunca daripada perselisihan faham serta rasa tidak puas hati melibatkan pemain dari kedua-dua pasukan.

“Pihak polis juga tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan insiden pergaduhan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Zainol turut menasihati semua pihak yang terlibat dalam perlawanan seterusnya selepas ini untuk memastikan insiden sama tidak berulang lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat