Kemudahan rangkaian milik TM rosak, syarikat pemaju didenda RM60,000

Mahkamah Sesyen Seremban pada Jumaat lalu menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM60,000.00 ke atas sebuah syarikat pemaju kerana telah merosakkan kemudahan rangkaian milik Telekom Malaysia Berhad (TM).

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), hasil siasatan mendapati kerosakan kepada kemudahan rangkaian TM itu berpunca daripada kerja-kerja pengorekan yang dilakukan oleh syarikat Monarch Lodge Development Sdn Bhd.

Sehubungan itu, syarikat pemaju itu didakwa atas kesalahan iaitu secara sengaja mengorek tanah dan telah merosakkan kemudahan rangkaian iaitu sesalur 9 laluan dan 6 laluan milik TM di Kilometer 8.2, Jalan Seremban, Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Kerja-kerja pengorekan tersebut berkaitan projek pembangunan Bandar Pelancongan Kota Lukut di Port Dickson.

“Akibat daripada kerosakan yang dialami, ia telah menjejaskan perkhidmatan kepada pelanggan-pelanggan TM di sekitar kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, hakim, Diana Md Razali telah menjatuhkan hukuman ke atas syarikat pemaju berkenaan selepas mendapati pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Susulan itu, syarikat Monarch Lodge Development Sdn Bhd telah dituduh di bawah Seksyen 235, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau keduanya sekali,” katanya.

Justeru itu, MCMC memandang serius berkenaan perkara tersebut dan mengingatkan setiap syarikat pemaju yang menjalankan kerja pembicaraan untuk menitik beratkan langkah-langkah keselamatan.

“Langkah-langkah keselamatan tersebut seperti mana yang terkandung di bawah Garis Panduan Pengalihan dan Pemasangan Semula Utiliti Dalam Pelaksanaan Program dan Projek Kerajaan,” katanya lagi.

Baca juga: