Kegiatan sindiket dipercayai didalangi warga China yang menjalankan operasi kilang memproses sisa elektronik atau e-waste secara haram di Klang, Selangor, terbongkar selepas premis berkenaan diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), pada Jumaat.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) dan Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla) dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, pada pukul 1.30 tengah hari, 16 Mei lalu.
Menurutnya, operasi itu dilakukan berdasarkan aduan awam berkaitan kilang disyaki beroperasi secara haram dan turut menggajikan warga asing dengan kemungkinan terdapat elemen eksploitasi pemerdagangan orang.
“Seramai 35 warga asing diperiksa dalam operasi ini dengan 33 daripadanya iaitu dua lelaki warga China, 27 lelaki warga Myanmar, dua lelaki warga Kemboja, seorang wanita warga Myanmar dan seorang wanita warga Kemboja, ditahan.
“Mereka berusia antara 19 hingga 40 tahun yang bekerja dan tinggal di ruang kilang yang dijadikan asrama sejak empat bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Ruslin berkata, semua warga asing itu didapati tidak memiliki dokumen perjalanan ketika ditahan kerana ia dipercayai disimpan oleh pengusaha kilang disyaki warga China.
“Modus operandi kilang ini adalah memproses sisa e-waste membabitkan proses peleraian dan pengasingan bahan berbahaya dengan logam berharga.
“Berdasarkan invois ditemui, sisa e-waste diterima hanya dalam jumlah kapasiti tertentu yang akan dipastikan boleh diproses dan disiapkan dalam tempoh seminggu kerana proses itu hanya boleh diselia oleh pekerja warga China yang berkemahiran,” ujarnya.
Jelas beliau, bagi mengaburi aktiviti itu, warga China terbabit akan beralih ke kilang-kilang lain yang menjalankan aktiviti sama sebelum keluar meninggalkan negara ini.
“Hasil keuntungan aktiviti ini dipercayai boleh mencecah sekitar RM300,000 hingga RM500,000 selepas barangan siap dikitar semula.
“Berdasarkan risikan dan maklumat diperolehi daripada warga asing yang ditahan, disyaki syarikat menjalankan kitar semula e-waste ini didaftarkan kepada individu tempatan tetapi diuruskan secara proksi oleh warga China,” ujarnya lagi.
Difahamkan, kes itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1959, Akta Pasport 1966 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
Baca juga: