Ketegasan Malaysia memperjuangkan hak Palestin, dipuji Presiden Uzbekistan

Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev memuji ketegasan Malaysia yang sering memperjuangkan keadilan buat rakyat Palestin ketika mesyuarat dua hala yang dihadiri Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Uzbekistan pada 18 Mei.

Dalam mesyuarat selama lebih satu jam, Presiden Shavkat turut berkongsi pendirian mahu melihat kewujudan sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka.

“Presiden Shavkat juga sambut baik usaha keras dan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia melawan rasuah dan salah guna kuasa, selain menghargai nilai-nilai yang diangkat dalam gagasan MADANI.

“Saya dan Presiden Shavkat senada mahu memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan, khususnya terkait perdagangan dan pelaburan.

“Selain kerjasama dalam sektor pendidikan, tenaga, industri halal, pertanian, pengangkutan, teknologi digital, kesihatan, pelancongan, kebudayaan serta kewangan dan perbankan Islam.

“Uzbekistan turut menyatakan hasratnya untuk menjalinkan kerjasama bersama Petronas dalam sektor hidrogen hijau dan petrokimia, selain latihan tenaga manusia dalam sektor minyak dan gas,” ujarnya menerusi satu kenyataan di Facebooknya.

Presiden Uzbekistan itu juga turut menyatakan cadangan mewujudkan zon perindustrian Uzbekistan-Malaysia bagi mempercepatkan prosedur pelaburan antara kedua-dua negara.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Luar Negeri; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya serta Menteri Agama.

Terdahulu, Anwar dan Shavkat bersetuju untuk mengangkat status Jawatankuasa Bersama dalam Perdagangan antara kedua-dua negara menjadi Suruhanjaya Bersama Antara Kerajaan.

Baca juga : https://malaysiabangkit.com/2024/05/17/aspek-keselamatan-dipertingkat-di-lokasi-berisiko-saifuddin-nasution/