8 sekeluarga terselamat dari bencana kepala air di Sungai Tong

Aktiviti riadah lapan sekeluarga bertukar tragedi apabila mereka terlibat dalam bencana alam kepala air di Lata Payong, Sungai Tong, Setiu, Terengganu pada pukul 5.30 petang hari Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Suprintenden Burhanuddin Mustafa berkata beberapa mangsa terperangkap di tebing sungai ketika bencana tersebut sedang berlaku.

“Keluarga yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu telah diselamatkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan orang kampung yang berada di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan terhadap kesemua mangsa dan mereka dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital sekiranya ada kecederaan,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, pihak polis turut menzahirkan ucapan terima kasih buat pasukan bomba dan orang awam yang terlibat dalam operasi menyelamat tersebut.

Burhanuddin turut menasihatkan orang ramai untuk tidak berkunjung ke kawasan rekreasi air terjun dan sungai terutamanya semasa perubahan cuaca yang tidak menentu dan berisiko berlaku bencana.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat