Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan pelbagai produk halal di Pameran Perdagangan Foodservice Australia 2024 bertempat di International Convention Centre (ICC), Darling Harbour, Sydney, Australia bermula 19 hingga 22 Mei 2024.
Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad menzahirkan harapannya untuk memperkenalkan dan memperkukuhkan jenama Halal Malaysia serta memudahkan akses produk ke pasaran antarabangsa.
“Pasaran halal global turut berpotensi dijangka akan mencapai AS$9 trilion menjelang tahun 2030.
“Pavilion KUSKOP di pameran tersebut memperkenalkan pelbagai produk halal berinovasi seperti sos berperisa rendang, dark chocolate keluaran tempatan dan produk sedia dimakan seperti bubur cendawan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Justeru, beliau berharap agar penyertaan tersebut dapat meningkatkan eksport produk halal ke Australia, dengan menjangkakan jualan sebanyak RM15 juta dijana oleh usahawan dibawah bimbingan KUSKOP.
Dalam pada itu, Suriani turut hadir untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Pavilion Malaysia di pameran Foodservice tersebut di samping menyaksikan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat G&H Cake House Sdn Bhd dengan Kirpa Traders Pty Ltd.
Baca juga: