Tawaran pertama lelongan Sijil Tenaga Boleh Baharu Malaysia (REC) dan Kredit Karbon yang dilelong melalui Bursa Carbon Exchange (BCX) akan membuka peluang sektor korporat.
Tawaran tersebut bertujuan mengetengahkan tindakan iklim melalui pengagihan modal dengan cekap untuk memberi sokongan pemuliharaan serta penggunaan teknologi rendah karbon.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kementeriannya menyokong penuh tawaran lelongan tersebut dan melihat penglibatan Bursa dalam menggalakkan projek karbon tempatan untuk berurus niaga adalah sesuatu yang membanggakan.
“Penyertaan Sarawak dan Sabah yang menerajui pembangunan projek karbon di wilayan masing-masing dalam menjana kredit karbon dan REC adalah suatu yang wajar diteladani.
“Oleh itu, NRES menyeru negeri-negeri lain di Malaysia untuk turut sama membantu memacu pembangunan industri pasaran karbon di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, NRES turut berada dalam proses menggubal Dasar Pasaran Karbon Negara yang akan menyediakan panduan strategik terhadap inisiatif pasaran karbon negara.
Pelaksanaannya juga akan diselaraskan dengan konvensyen antarabangsa termasuk Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) serta pasaran karbon sukarela.
“Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan akan menghasilkan panduan strategik bagi menubuhkan ekosistem pasaran karbon yang teguh dan telus untuk menyokong cita-cita iklim Malaysia,” ujarnya.
Nik Nazmi turut berkata kementerian akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menentukan keselarian dan mempelajari pembangunan ekosistem Pasaran Karbon Sukarela Malaysia untuk disertakan dalam pembangunan Dasar Pasaran Karbon Negara.
Baca juga: